Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Kursus intensif dedah prosedur pengurusan betul

Oleh Nurdiyanah R. –

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OKT – Lebih 60 orang terdiri daripada ahli-ahli Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA), pegawai dan anggota daripada sektor swasta menghadiri kursus Understanding And Managing Turnkey/Design & Build Contracts yang berlangsung selama dua hari dan berakhir hari ini.

Kursus intensif anjuran PUJA Academy Sdn Bhd (PASB) itu diadakan untuk memberi pendedahan dalam mempelajari semua aspek pentadbiran kontrak daripada permulaan sehingga pengeluaran sijil akhir sekali gus membiasakan diri dengan isu-isu praktikal yang terlibat dalam urusan kontrak harian dan cara pengurusan masa dan tuntutan kos yang berkesan.

Berlangsung di Bilik Senat, Universiti Brunei Darussalam (UBD), kursus telah disampaikan oleh Jurutera Profesional dan Bertauliah, Penimbangtara Bertauliah, Pengantara dan Adjudikator, Ir Harbans Singh.

Topik kursus memenuhi keperluan profesional dan memberikan pandangan serta pemahaman dalam mengurus kontrak reka bentuk dan binaan sekali gus memuatkan penyertaan aktif dengan sesi soal jawab.

Menerusi kursus berkenaan, ia bertujuan untuk membiasakan para peserta dengan aspek penting berkaitan kepentingan dan keistimewaan jenis-jenis kontrak yang digunakan bukan sahaja untuk projek infrastruktur tetapi juga kontrak kejuruteraan dan pembinaan berskala besar.

Matlamat utamanya adalah untuk membiasakan golongan peserta dengan prosedur yang disyorkan untuk melaksanakan dan mengurus kontrak-kontrak dengan betul.

Ia juga bagi mewujudkan kesedaran tentang masalah yang mempengaruhi pelaksanaan atau pengurusan Turnkey/Design & Build Contracts yang biasa digunakan dan untuk mendedahkan peserta kepada kajian kes dan undang-undang yang terpakai.

PASB secara aktif menawarkan webinar dan kursus maya untuk meningkatkan kecekapan ahli PUJA dan industri pembinaan dengan misinya untuk mempromosikan kesedaran, meningkatkan pengetahuan dan pengalaman.

Para peserta bergambar ramai semasa menghadiri kursus berkenaan. – Gambar serahan PASB