Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Inisiatif kembang majukan aktiviti pelancongan Kg Menunggol

Oleh Salawati Haji Yahya –

Mendekati masyarakat lebih-lebih lagi kampung-kampung pedalaman bukan hanya tertumpu kepada satu pihak, tetapi semua pihak berperanan untuk sama-sama berganding bahu memainkan peranan masing-masing supaya mereka tidak berasa terpinggir.

Ke arah itu, Projek Jangkauan Masyarakat bertajuk Aktiviti Berkaitan Ekonomi dan Pelancongan di Kampung (Kg) Menunggol yang dilaksanakan oleh Kumpulan Infaq Ikhlas telah mengadakan majlis serah terima projek berkenaan baru-baru ini.

Kumpulan yang terdiri daripada peserta Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) ke-30 itu terus diperkukuhkan menerusi penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara Kumpulan Infaq Ikhas dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Menunggol.

MoU tersebut bermatlamat memastikan kelestarian Projek Jangkauan Masyarakat Kampung Menunggol mencapai tujuan seperti yang dihasratkan oleh kedua-dua pihak.

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Taman Riadah Bukit Batu Bujang Pahang, Kampung Menunggol itu ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Lawi bin Haji Lamat.

Yang Berhormat Awang Lawi menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil pertubuhan bukan kerajaan pada majlis tersebut. – Gambar serahan Kumpulan Infaq Ikhlas
Antara produk yang dikeluarkan oleh Kampung Menunggol. – Gambar serahan Kumpulan Infaq Ikhlas
Antara yang hadir pada majlis yang diadakan di Taman Riadah Bukit Batu Bujang Pahang, Kampung Menunggol. – Gambar serahan Kumpulan Infaq Ikhlas
Gambar serahan Kumpulan Infaq Ikhlas
Gambar serahan Kumpulan Infaq Ikhlas

Pada majlis, Ketua Kumpulan Infaq Ikhlas, Leftenan Kolonel (U) Amirul Hapli bin Talip dalam ucapannya telah menekankan bahawa sektor pelancongan merupakan salah satu hasil sumber pendapatan negara seperti yang telah digariskan dalam salah satu matlamat Strategi Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, iaitu ‘meningkatkan pertumbuhan jumlah ketibaan pelancong dan pertumbuhan perkhidmatan yang berkaitan dengan pelancongan di Negara Brunei Darussalam supaya dapat menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)’.

Ke arah itu, Kampung Menunggol telah dipilih oleh Kumpulan Infaq Ikhlas sebagai destinasi bagi melaksanakan Projek Jangkauan Masyarakat berdasarkan keunikan yang terdapat di kampung ini.

Menurut Leftenan Kolonel (U) Amirul Hapli lagi, objektif utama projek kumpulan berkenaan adalah untuk membuka peluang ekonomi penduduk kampung dengan mengembang majukan aktiviti pelancongan Kampung Menunggol supaya dapat menarik minat pengunjung.

Inisiatif ini, jelasnya, dihasratkan dapat menjana spin-off bagi aktiviti perekonomian seperti pasar tani, aktiviti sosial seperti camping/glamping, aktiviti kesihatan seperti Trial Run Tournament serta aktiviti kajian dan penyelidikan dan sebagainya.

“Aktiviti-aktiviti sedemikian setentunya secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan kualiti dan gaya hidup masyarakat setempat,” tambahnya.

Beliau turut mengongsikan, walaupun lokasi kampung berkenaan terletak dalam lingkungan kawasan bandar, ianya masih lagi mengekalkan tradisi keunikan gaya hidup perkampungan seperti berkebun, bercucuk tanam, menternak dan menangkap ikan, yang dilihat mampu menarik minat para pelancong untuk berkunjung ke kampung itu.

TARIKAN SEJARAH

Kampung Menunggol memiliki banyak tempat bersejarah dan menarik yang boleh diketengahkan sebagai tempat tarikan pelancong seperti yang terdapat di Taman Riadah Bukit Batu Bujang Pahang iaitu air pancur, lombong arang batu, Gua Kelawar, Batu Berpangkat, Telaga Puteri dan Wasai Mailu.

Selain itu, kampung berkenaan juga masih memelihara alam semula jadinya yang mana amat sesuai dijadikan tempat kajian dan penyelidikan khususnya dalam bidang biodiversiti hutan flora dan fauna.

Selain itu, Kampung Menunggol juga mempunyai produk-produk tersendiri, hasil penduduknya yang berpotensi untuk dipasarkan secara domestik, yang mana secara tidak langsung dapat meningkatkan aktiviti keusahawanan dan perekonomian di kampung ini.

AKTIVITI KEMASYARAKATAN

Dalam tempoh lebih kurang dua minggu, Kumpulan Infaq Ikhlas telah pun mengendalikan Projek Jangkauan Masyarakat di kampung itu dan berjaya melaksanakan beberapa inisiatif yang telah dan sedang berlangsung antaranya, membaik pulih Jeti Berambang Menunggol yang menjadi pintu masuk utama ke Kampung Menunggol.

Selain membaik pulih prasarana yang sedia ada di Taman Rekreasi Bukit Batu Bujang Pahang, kumpulan itu juga memasang papan-papan tanda yang menunjukkan peta jalan bersama lampu solar dan kod QR untuk daftar masuk di laluan trek Taman Riadah Bukit Batu Bujang Pahang.

“Walau bagaimanapun, disebabkan oleh faktor masa, masih terdapat beberapa inisiatif yang telah dirancang masih belum namun akan dilaksanakan seperti membina tapak pondok gerai jualan, dan membina pondok pembuangan sampah tertutup,” tambahnya.

Majlis turut menyaksikan tetamu kehormat menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, syarikat swasta dan penaja-penaja yang terlibat bagi memberikan sokongan dalam menjayakan aktiviti-aktiviti projek jangkauan masyarakat yang dikendalikan oleh kumpulan berkenaan.