Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Berkenan berangkat ke Majlis Puja Usia

Oleh Syahmi Hassan

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 FEB – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah berkenan berangkat ke Majlis Santap Petang sempena Sambutan Hari Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ke-49 Tahun yang dianjurkan oleh Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) di Mes Pegawai Bolkiah Garison, hari ini.

Berangkat mengiringi Duli Yang Teramat Mulia ialah paduka-paduka adinda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyah serta Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri 920 Mejar (Udara) Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Keberangkatan tiba DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah serta kerabat diraja dijunjung oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abd Kadir dan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan.

Semasa majlis tersebut, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dijunjung untuk sesi bergambar ramai dan seterusnya disembah kenalkan kepada anggota-anggota ABDB yang terlibat di dalam misi Independent Decommissioning Body Verification, Monitoring and Assistance Team (IDB VMAT), Republik Filipina, anggota ABDB yang mengikuti Penugasan Misi Pengaman di dalam Malaysian Battalion 850-9 (MALBATT 850-9) bagi Misi United Nations Interim Force In Lebanon (UNIFIL), penerima RBAF Commendation Award bagi Kursus Maktab Turus ABDB ke-12 bagi tahun 2022, dan pegawai-pegawai yang baru ditauliahkan yang menerima Anugerah-anugerah terbaik bagi Pegawai-pegawai Kadet Pengambilan ke-21, Sekolah Pegawai Kadet ABDB.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota kemudiannya disembahkan dengan tayangan klip video serta Buku Sejambak Ristaan XVI yang mengandungi koleksi gambar-gambar kenangan termasuk semasa Majlis Santap Petang sempena Sambutan Hari Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia ke-48 Tahun yang dihoskan oleh Kementerian Pertahanan dan ABDB pada tahun lepas.

Majlis tersebut diikuti dengan penandatanganan lembaran kenangan, upacara memotong kek dan pesambah.

Bagi memberkati majlis, Doa Kesyukuran dibacakan oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA’AT), Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkenan memotong kek sempena Majlis Puja Usia DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ke-49 pada Majlis Santap Petang di Mes Pegawai Bolkiah Garison. Berangkat sama ialah YTM Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah; DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan YAM Pengiran Anak Isteri Pengiran Raabi’atul ‘Adawiyyahserta DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.