Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

BIBD catat tahun yang menggalakkan

Oleh Sim Y. H. – 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Walaupun berhadapan persekitaran ekonomi global yang mencabar berikutan dengan pandemik COVID-19, Kumpulan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) sekali lagi mampu untuk merekodkan tahun yang menggalakkan serta berjaya.

Tahun lepas merupakan tahun yang bergelora bagi ekonomi global apabila konflik, inflasi dan krisis bekalan makanan serta kesan COVID-19 terus melanda ekonomi sepanjang 2022, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah dalam kapasitinya sebagai Pengerusi BIBD dan Kumpulan Syarikatnya semasa berucap di Mesyuarat
Agung Tahunan BIBD 2023 yang berlangsung di The Empire Brunei, hari ini.

Beliau berkata bahawa Negara Brunei Darussalam telah berupaya untuk mengemudi melalui impak ekonomi COVID-19 dengan negara terus menyesuaikan diri serta mengusahakan inisiatif bagi menjana aliran ekonomi tambahan.

Walaupun berhadapan dengan persekitaran yang mencabar, ulas Yang Berhormat Dato, kedudukan modal yang kukuh industri perbankan telah membolehkan institusi kewangan dan bank untuk terus menyediakan perkhidmatan dan sokongan mereka kepada permintaan bagi kredit ekonomi tempatan.

Sektor perbankan di Brunei kekal mantap dengan bank-bank berupaya untuk menyediakan aliran kredit kepada ekonomi manakala kualiti aset juga meningkat dengan Nisbah Pembiayaan Tidak Berbayar Kasar direkodkan sebanyak 3.3 peratus pada 2022 berbanding 3.6 peratus pada 2021.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa memberi ucapan di Mesyuarat Agung Tahunan BIBD 2023 di The Empire Brunei, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew semasa mempengerusikan mesyuarat berkenaan. – Gambar oleh Sim Y. H.
Antara yang hadir semasa Mesyuarat Agung Tahunan BIBD 2023, kelmarin. – Gambar oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Sim Y. H.

Perkara yang serupa juga dicerminkan menerusi prestasi kumpulan melalui perniagaan utamanya, jelas Yang Berhormat Dato, di mana keuntungan dan aset keseluruhan meningkat semasa tahun fiskal dalam semakan.

Beliau menambah bahawa strategi pengurusan risiko berhemah digabungkan dengan penyelesaian perbankan digital mampan dan inovatif, telah membolehkan mereka untuk bukan sahaja mengharungi cabaran tetapi juga berkembang dalam landskap yang berubah itu.

Pada 2022, Kumpulan BIBD telah mencatatkan pendapatan kasar sebanyak $387 juta di mana ia memperoleh untung bersih sebanyak $147 juta.

Kumpulan itu telah menyampaikan sebanyak 13.5 peratus Pulang ke atas Ekuiti (ROE), yang mana meningkatkan pulangan dan nilai kepada pemegang-pemegang sahamnya.

Kumpulan BIBD juga telah melancarkan Kerangka Kemampanan pada 2021 dan mengumumkan sasaran komitmen sebanyak $2 bilion kepada pembiayaan kemampanan
menjelang 2030.

“Sepanjang 2023, kita mengikuti ini menerusi tindakan-tindakan signifikan dan relevan yang mencerminkan komitmen kemampanan ini,” jelas Yang Berhormat Dato.

Satu pencapaian signifikan pada 2022 adalah penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) antara Kumpulan BIBD dengan Majlis Kebangsaan Perubahan Iklim Brunei Darussalam (BNCCC) untuk bekerjasama dalam penyelesaian tindakan iklim.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri berkata di bawah bimbingan berwawasan Lembaga Pengarah BIBD dan Lembaga Penasihat Syariah BIBD, mereka telah berupaya untuk mengemudi BIBD ke arah masa depan yang bukan sahaja menjamin kestabilan kewangan mereka tetapi juga mencapai tanggungjawab alam sekitar dan sosial mereka.

Beliau menambah, pertumbuhan konsisten dalam metrik kewangan termasuk aset, simpanan dan keuntungan, merupakan bukti kepada kepakaran dan dedikasi keseluruhan pasukan BIBD.

Semasa mesyuarat itu, para pemegang saham disampaikan penyata kewangan bagi tahun berakhir 2022 dan meluluskan dividen akhir sebanyak 17.40 sen ($0.174) setiap saham biasa.