Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Hong Kong hidupkan semula tarian naga api

HONG KONG, 29 SEPT – Ribuan penonton yang teruja memenuhi jalan-jalan di kawasan kejiranan Hong Kong yang biasanya sunyi pada malam kelmarin, tidak sabar-sabar untuk melihat semula tarian naga api di bandar itu selepas tiga tahun tidak dipersembahkan akibat pandemik.

Asap dan api berpusar di udara, dihembus dari badan naga sepanjang 67 meter yang terdiri daripada beribu-ribu batang setanggi.

Naga itu diangkat oleh ratusan sukarelawan yang menari di sepanjang jalan di kawasan kejiranan Tai Hang dalam satu perarakan yang riuh rendah.

“Saya berasa sangat teruja – begitu juga semua orang,” kata Cheung Leung, ahli jawatankuasa tarian naga api, kepada AFP.

Cheung, yang telah menjadi sebahagian daripada upacara itu selama dua dekad, berkata penganjur telah berlatih untuk persembahan mereka sejak Mac, tidak lama selepas Hong Kong membatalkan semua sekatan pandemik.

“Kepalanya mempunyai berat sekurang-kurangnya 40 kilogram selepas kami meletakkan setanggi,” tambahnya sambil menyatakan ‘kunci kepada persembahan yang baik adalah mempunyai banyak kekuatan’.

Ritual itu bertepatan dengan Festival Pertengahan Musim Luruh, acara tahunan tradisional yang disambut oleh berjuta-juta orang di seluruh dunia, dengan sebahagian besar diaspora Cina berkumpul untuk makan malam bersama keluarga, menyalakan tanglung dan makan kuih bulan. – AFP

Gambar AP