Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Kanak-kanak Sweden tawar khidmat jadi pembunuh upahan

STOCKHOLM, 29 SEPT – Semakin ramai kanak-kanak di Sweden kini menghubungi kumpulan jenayah untuk menawarkan khidmat sebagai pembunuh upahan, kata ketua polis negara itu hari ini, selepas tiga orang dibunuh dalam tempoh 24 jam.

Negara Scandinavia itu kini berada dalam cengkaman konflik berdarah antara kumpulan yang bergelut dalam perdagangan senjata dan pengedaran dadah. Keadaan itu semakin tegang dengan pergolakan dalaman dalam salah satu kumpulan terkemuka.

Bangunan-bangunan pangsapuri dan rumah-rumah di seluruh negara itu sering digegarkan oleh letupan. Tembakan, yang pada awalnya berlaku di kawasan miskin, kini menjadi kejadian biasa di tempat awam di negara yang sebelum ini dikenali sebagai aman dan damai.

“Kita kini berada dalam situasi di mana kanak-kanak sendiri menghubungi kumpulan jenayah” untuk menawarkan diri sebagai pembunuh, kata Anders Thornberg kepada wartawan.

“Pelaku-pelaku jenayah ini sangat kejam,” tambah Thornberg, sambil menegaskan bahawa kumpulan jenayah juga menghubungi orang, selalunya terdiri daripada kanak-kanak, dan ‘mengedarkan senjata serta memberikan alamat untuk melancarkan serangan’.

Kebanyakan yang menjadi mangsa adalah daripada golongan muda. – AFP

Gambar Freepik