Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Majlis khatam imarahkan Masjid

Oleh Ak Zaki Kasharan –

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Ahli-ahli jawatankuasa takmir dan jemaah Tadarus Subuh Masjid Kampung Sungai Besar, hari ini, telah mengadakan majlis khatam Al-Quran setelah menamatkan bacaan 30 juzuk di masjid berkenaan.

Hadir menyertai majlis berkenaan ialah Ketua Kampung Sungai Besar, Kampung Serdang dan Sungai Belukut, Leftenan Kolonel (B) Haji Awang Zaini bin Haji Awang Damit

Majlis bermula dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai dan disusuli dengan bacaan surah-surah ayat lazim bermula dari Surah Ad-Dhudha sehingga An-Nas yang dipimpin oleh Awang Rahim bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Tamin.

Sementara itu, Imam Masjid Kampung Sungai Besar, Awang Muhammad Hazman Haji Mohd Hairol Azme membaca Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dan Doa Selamat.

Tadarus Subuh yang diadakan setiap hari selepas sembahyang fardu Subuh berjemaah secara istiqamah itu membantu mengimarahkan lagi masjid di samping menjadi ibadah yang sangat besar dengan ganjaran pahala sekali gus menyumbang kekukuhan hubungan erat dalam kalangan pembaca.

Majlis Khatam Al-Quran yang dikendalikan itu juga sebagai menzahirkan rasa syukur atas usaha yang berterusan para pembaca untuk menetapi sasaran ‘Sebulan Sekali Khatam’.

Gambar ramai semasa majlis khatam Al-Quran bagi Tadarus Subuh Masjid Kampung Sungai Besar. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan