Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Malaysia tewas menentang Thailand

JINHUA, 29 SEPT – Skuad sepak takraw Malaysia gagal menamatkan penguasaan Thailand selama 25 tahun dalam acara regu berpasukan lelaki selepas tewas dalam perlawanan akhir pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 hari ini.

Kecemerlangan Thailand selaku gergasi dunia pada aksi di Pusat Sukan Gimnasium Jinhua, kira-kira 170 kilometer dari Hangzhou itu menyaksikan mereka merakam kemenangan 2-0 sekali gus meraih pingat emas buat kali ketujuh berturut-turut sejak edisi 1998 di Bangkok.

Malaysia pula terpaksa berpuas hati dengan perak untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.

Thailand yang mempertaruhkan pemain berpengalaman meraih mata pertama menerusi trio Pichet Pansan, Wichan Temkort dan Sittipong Khamchan selepas mudah mengatasi regu Malaysia, Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Farhan Adam dan Muhammad Haziq Hairul Nizam 21-15, 21-14.

Regu kedua Malaysia dibarisi Mohamad Azlan Alias, Amirul Zazwan Amir dan Mohammad Syahir Mohd Rosdi yang diharap menghadiahkan mata untuk mengheret perlawanan ke aksi penentuan, bagaimanapun turut mene-mui jalan buntu untuk menundukkan lawan.

Mereka yang dilihat berusaha untuk menyaingi kehebatan trio, Varayut Jantarasena, Pattarapong Yupadee dan Siriwat Sakha terpaksa akur dengan kehebatan lawan selepas tewas 13-21, 18-21. – Bernama

Aksi pemain Malaysia dan Thailand dalam acara regu berpasukan lelaki dalam perlawanan akhir pada temasya Sukan Asia Hangzhou di China pada 29 September. – Bernama