Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Novelis Jepun anjur pembacaan cerita hantu

TOKYO, 29 SEPT – Penulis novel Jepun, Haruki Murakami menganjurkan acara membaca cerita hantu di Tokyo di tengah-tengah perhatian yang semakin meningkat sebelum pengumuman Hadiah Nobel dalam kesusasteraan tahun ini, anugerah yang beliau sentiasa dijangka menang.

Murakami berkata semasa bacaan kelmarin bahawa beliau suka cerita seram dan mahu menulis lebih banyak cerita seumpama itu. Acara tersebut menampilkan satu cerita daripada koleksi abad ke-18, Tales of Moonlight and Rain, yang telah menarik minat Murakami sejak kecil dan dikatakan telah memberi inspirasi kepada karyanya.

Koleksi klasik yang ditulis oleh Akinari Ueda dan dikenali sebagai ‘Ugetsu Monogatari’ dalam bahasa Jepun meneroka sempadan kabur antara alam nyata dan khayalan, yang menurut Murakami dalam panduan yang beliau sumbangkan kepada majalah pada tahun 2021, membuatnya tertanya-tanya di pihak mana beliau berada.

Perbezaan dua dunia merupakan motif penting dalam tulisan Murakami. Protagonis dalam ceritanya sering mengembara melalui dinding atau antara dua dunia dan menemui watak-watak misteri dan eksotik. Walaupun Murakami berkata beliau membesar dengan membaca novel-novel Barat, beberapa pakar juga telah mencatatkan pengaruh cerita Ueda dalam beberapa karya Murakami.

Murakami telah menjadi calon untuk Hadiah Nobel dalam kesusasteraan selama lebih sedekad, dan pemenang hadiah 2023 dijadual akan diumumkan pada 5 Oktober. Jika beliau menang, beliau akan menjadi penulis Jepun pertama sejak Kenzaburo Oe pada 1994 untuk dinobatkan sebagai pemenang Nobel. – AP

Dalam foto yang disediakan oleh The Waseda International House of Literature ini, Murakami bercakap semasa acara membaca cerita hantu di Tokyo, baru-baru ini. – AP