Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Pasukan skuasy wanita Malaysia mara ke final

HANGZHOU, 29 SEPT – Pasukan skuasy wanita Malaysia meneruskan cabaran mereka untuk merampas semula pingat emas acara berpasukan Sukan Asia, selepas menewaskan Korea Selatan 2-0 dalam separuh akhir di Gelanggang Skuasy Pusat Sukan Olimpik Hangzhou, hari ini.

Malaysia yang merupakan pilihan kedua, bermula dengan Aifa Azman yang hanya mengambil masa 20 minit untuk menundukkan Eum Hwayeong 11-4, 11-1, 11-8 bagi memberikan mata pertama kepada Malaysia.

S Sivasangari kemudian menewaskan Lee Jihyun 11-4, 11-4, 11-5 untuk kemenangan selesa, sekali gus membolehkan ahli pasukan lain, Rachel Arnold dan Aira Azman tidak perlu bermandi peluh.

“Aifa bermula dengan baik, pukulan beliau lebih tajam dan yakin berbanding semalam, yang turut melonjakkan keyakinan kami. Saya masuk gelanggang dengan yakin bagi meraih 3-0, seboleh mungkin saya cuba kekal positif untuk menang,” kata Sivasangari ditemui selepas perlawanan.

Bagaimanapun, dalam usaha merampas semula gelaran juara berpasukan, pemain bakal berdepan ujian getir menentang pilihan utama dan juara bertahan, Hong Kong yang menyingkirkan pemenang pingat perak edisi lepas, India 2-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Mengenai perlawanan esok, Rachel berkata mereka sudah biasa dengan Hong Kong selepas bertemu dalam banyak kejohanan.

“Kita akan balik dan buat analisis terhadap permainan kita dan pihak lawan sebagai persiapan. Diharap kita dapat buat dengan baik,” katanya. – Bernama

Gambar Freepik