Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Perkukuh perkongsian akademik Brunei-Bangladesh

Oleh Ak Zaki Kasharan –

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh untuk mengadakan Hari Bangladesh @ UBD di Institut Kepimpinan, Inovasi dan Kemajuan, UBD, baru-baru ini.

Hadir pada majlis pelancarannya ialah Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona.

Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Global), Dr Joyce Teo Siew Yean dalam ucapan perasmiannya antara lain menekankan kepentingan memperkukuh perkongsian akademik di mana melalui sokongan daripada Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Brunei Darussalam, UBD berharap dapat mengukuhkan kerjasama dengan lebih banyak institusi pendidikan, organisasi, dan industri di Bangladesh.

Perkongsian seperti itu, jelasnya, akan membuka jalan kepada perkongsian pengetahuan, kerjasama penyelidikan dan inisiatif bersama akan memperkayakan institusi yang bukan sahaja akan mengembangkan akademik tetapi juga mewujudkan laluan yang mampan untuk pertumbuhan bersama.

PYT Nahida Rahman Shumona dalam ucapannya pula berkongsi, kerajaan Bangladesh meletakkan keutamaan yang tinggi terhadap pendidikan dan percaya bahawa ia boleh mengubah kehidupan, masyarakat dan negara.

Beliau juga membuat kesimpulan bahawa bersama Brunei dan Bangladesh boleh membentuk masa depan yang lebih baik melalui kuasa pendidikan dan persefahaman.

Acara itu juga turut diisikan dengan penyampaian sumbangan buku daripada Suruhanjaya Tinggi Bangladesh kepada UBD dan ceramah khas oleh mantan Duta Besar Istimewa Negara Brunei Darussalam ke Timor Leste, Dayang Norazlianah binti Haji Ibrahim.

Turut hadir pada majlis itu ialah ahli-ahli Kor Diplomatik, pegawai-pegawai utama dan pelajar UBD, masyarakat Bangladesh di Brunei dan orang ramai.

Majlis diakhiri dengan para tetamu dibawa melawat Pameran Kebudayaan Bangladesh yang terdiri daripada lukisan budaya, artifak dan pakaian kebangsaan Bangladesh, yang membolehkan tetamu mengetahui lebih lanjut tentang budaya tersendiri Bangladesh dan bidang persamaan dengan Brunei.

Ketika ini, terdapat seramai 23 orang pelajar dari Bangladesh di UBD untuk mengikuti pengajian siswazah masing-masing.

PYT Nahida Rahman Shumona membawa para tetamu menyaksikan Pameran Kebudayaan Bangladesh. – Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi Republik Rakyat Bangladesh.
Dr Joyce Teo Siew Yean dan Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona semasa menghadiri majlis berkenaan. – Gambar serahan UBD
Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona ketika menyampaikan ucapannya pada majlis tersebut. – Gambar serahan UBD