Brunei Darussalam
This article was added by the user . TheWorldNews is not responsible for the content of the platform.

Swiatek tersingkir di Terbuka Pan Pasifik

TOKYO, 29 SEPT – Juara Grand Slam empat kali, Iga Swiatek tersingkir daripada peringkat suku akhir di Terbuka Pan Pasifik di Tokyo, hari ini apabila ditewaskan oleh pemain Rusia, Veronika Kudermetova.

Kudermetova, yang menduduki ranking ke-19, mara ke peringkat separuh akhir selepas melakukan empat servis cemerlang dan menewaskan pemain nombor dua dunia itu, 6-2, 2-6, 6-4 dalam masa 2 jam 21 minit.

“Servis saya amat berkesan hari ini,” kata pemain berusia 26 tahun itu selepas perlawanan.

“Dalam perlawanan terakhir, saya cuba memberikan tumpuan bahawa saya perlu bermain untuk mencari mata, saya tidak perlu menghasilkan servis cemerlang dan saya hanya perlu melancarkan servis dan cuba bermain rali.”

Kudermetova akan menentang Anastasia Pavlyuchenkova, yang menduduki tempat ke-86, esok. “Ia akan menjadi perlawanan yang menarik dan sangat sukar,” kata Kudermetova.

Aksi Iga Swiatek semasa perlawanan perseorangan wanita di kejohanan tenis Terbuka Pan Pasifik di Tokyo pada 27 September. – AFP

“Saya bermain lebih teruk,” kata Swiatek, yang kehilangan ranking nombor satu di Terbuka Amerika Syarikat (AS).

“Saya tahu kesilapan yang saya lakukan. Saya tahu saya harus bermain dengan cara yang berbeza agar saya tidak akan melakukan kesilapan ini lagi,” katanya tanpa memberikan butiran lanjut.

Pemain nombor empat dunia, Jessica Pegula dari AS menewaskan pemain Rusia, Daria Kasatkina, 26 tahun, di ranking ke-13, dalam keputusan menarik 6-1, 6-0.

Pemain nombor enam dunia, Maria Sakkari dan pemain nombor 10, Caroline Garcia akan bertemu hari ini.

Sakkari dari Greece menamatkan penantian empat tahunnya untuk kejuaraan WTA kedua di Terbuka Guadalajara minggu lalu, di mana dia menewaskan Garcia pada separuh akhir sebelum menjulang trofi. – AFP